TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN TAHUNAN KALI KE-90 KOPERASI POLIS DIRAJA MALAYSIA BERHAD

 

  

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN

MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN TAHUNAN

KALI KE-90

KOPERASI POLIS DIRAJA MALAYSIA BERHAD

 

 

13 JUN 2025 (JUMAAT) | 11.00 PAGI

 

PACIFIC BALLROOM,

HOTEL SERI PACIFIC,

JALAN PUTRA, KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Yang Berhormat Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail,

Menteri Dalam Negeri;

Rakan-rakan yang baru balik daripada mengerjakan Haji, kita doakan Haji Mabrur, “Allahummaj’alhu Hajjan Mabrura wa Sa’yan Masykura wa Dhanban Maghfura wa ‘Amalan Shalihan Maqbula wa Tijaratan lan Tabur”mudah-mudahan diberikan bukan sahaja keberkatan kepada mereka tetapi juga wilayah di bawah jagaan mereka.

 

Yang Berbahagia Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin bin Husain,

Ketua Polis Negara

Merangkap Yang Dipertua Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad;

Barisan Lembaga Koperasi PDRM, subsidiari, Pegawai-Pegawai Kanan PDRM dan Pegawai Pengurusan Koperasi, dan rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Alhamdulillah kita bersyukur kehadrat Allah SWT, kerana sekali lagi mendapat satu berita baik tentang tahap pengurusan koperasi yang jauh lebih cermat, berhemah dan cekap yang menyebabkan prestasi dan hasilnya lebih baik bagi anggota Polis.
  1. Saya sebut perkara ini kerana saya ikuti sejak tahun 90-an semasa saya jadi Menteri Kewangan, dan di antara anjakan yang saya lakukan dari sudut penyenaraian saham dan keutamaan diberikan.
  1. Sebelum saya, diberikan hanya kepada beberapa tokoh korporat pilihan, yang saham Bumiputera. Saya beralih memberi keutamaan kepada koperasi Polis, Tabung Haji, LTAT, MARA dan beberapa koperasi di peringkat daerah, walaupun tidak mudah kerana menghadapi sedikit sebanyak tekanan dan permasalahan.
  1. Jadi cabaran ketika itu ialah bagaimana kita nak pastikan dana keuntungan yang mudah bila penyenaraian katalah 10 juta kali 6 sama dengan 60 juta fee shares. Ialah pengurusan yang cakap. Saya tak dapat pertahankan pengurusan ketika itu. Tapi bila lihat prestasi mutakhir, pengurusan baru yang mewakili ratusan ribu anggota Polis, maka kita lihat bahawa kalau pengurusan itu baik atau tatakelola baik, prestasi bagi anggota yang ramai itu akan jauh lebih baik.
  1. Sebab itu saya mulakan dengan menyatakan syukur alhamdulillah dan tahniah kepada pengurusan Koperasi Polis. Kalau tidak mustahil pengumuman Jeneral Tan Sri Razarudin bin Husain tadi tentang hasilnya, pulangannya, bonusnya, seperti mana yang telah diumumkan meletakkan koperasi ini tingkat yang agak tinggi ketimbang koperasi lain dalam negara kita.
  1. Minggu lalu tatkala berjalan program-program seperti ini, saya sempat temu ramah dengan Polis yang mengawal. Saya tanya keadaan, rumah, dan beritanya sangat menyentuh perasaan saya dan menyenangkan. Saya Tanya tentang tinggal di mana? Bagaimana keadaan rumah Polis yang mereka diami? dan jawabnya itu sangat menggembirakan saya, dia kata, “Dato’ Seri, saya berkerja dalam Polis sudah 28 tahun. Saya tinggal di kuarters Polis 15 tahun, 16-17 tahun. Inilah kali pertama rumah kami diperbaiki dan menjadikan tempat yang sesuai untuk kami duduk.”
  1. Jadi saya ucap terima kasih kepada Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail dan Jeneral Tan Sri Razarudin bin Husain dan seluruh jentera, kerana memberikan cadangan balas kepada saya. Bila saya putuskan sama ada ESSCOM dan kemudahan-kemudahan, pusat PGA seperti Sungai Petani dan perumahan Polis umumnya. Mereka katakan apakah mungkin kita percepatkan proses lebih efisien sepertimana Kor Kejuruteraan di Angkatan Tentera? Saya setuju. Masa tu dia sebut ada agensi yang tertentu seperti PBLT, urus dengan cepat, cekap dan menyebabkan hasilnya itu baik.
  1. Sebab itu saya katakan kadang-kadang kita memerlukan pandangan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara dan Menteri untuk mengemukakan pandangan-pandangan dan tidak boleh kita kekal dengan cara dan kaedah lama sahaja.
  1. Umpamanya kalau kita lihat rumah polis, rumah tentera, rumah guru. Negara catat kejayaan yang membanggakan. Pertumbuhan 5% pelaburan semalam saya umumkan. Masih meningkat suku tahun pertama tahun ini dalam keadaan ekonomi dunia terencat, tetapi pelaburan di Malaysia masih meningkat 3.1%. Tapi ukuran akhirnya itu ialah ukuran keselesaan kepada rakyat, rumah mereka, hospital, sekolah dan kos sara hidup.
  1. Jadi ini yang cuba ditangani oleh Kerajaan MADANI. Tapi kita juga berdepan dengan suara-suara yang terus kencang negatif terus bahawa seolah-olah kita ini hanya bercuti dan tidak berbuat apa-apa kerja. Dan termasuk Polis tidak menjalankan tugas dengan profesional. Kalau ada satu dua kes daripada ratus ribu itulah yang dia besarkan seolah-olah gagal semuanya. Ini penyakit kelompok bebal.
  1. Saya dengan Polis lama (nada berseloroh), termasuk Saifuddin. Tetapi sauudar, kita harus lihat objektif, secara objektif kecekapan mereka. Lihat umpamanya ASEAN, GCC dan China. Sebab itu dalam ucapan penghargaan saya, pertama saya sebut terima kasih, penghargaan, kecekapan kerja, penat lelah, pagi petang malam ikut syif 2 – 3 pagi penuh jaga latihan, pengawalan, keselamatan, imej negara, kecekapan, saya selute Polis Diraja Malaysia.
  1. Kadang-kadang rakyat termasuk golongan yang bebal ini dia tak peduli, dia anggap ini luar biasa, itu kerja Polis, tak betul. Habis taklimat satu malam itu jam , sekitar 12 malam saya terlihat Polis penuh di situ. Buat apa mereka? bersedia sepanjang jalan sampai semua hotel di mana ada tokoh-tokoh kenamaan. Kerana kita kena jaga imej negara kita, keselamatannya, kecekapannya.
  1. Negara China, semasa Presiden Xi Jinping datang, kemudian Perdana Menteri Li Qiang, tanyalah pasukan keselamatan Negara China, dia anggap ini di antara persiapan dan kecekapan Polis yang exceptional, baik dan cekap.
  1. Dan tentunya yang lain, Kementerian Luar, MITI, Kementerian Kewangan, JPM, protokol, semua betul Dewan Bandaraya. Tetapi Tuanku Sultan Brunei sebut kepada saya berpuluh tahun dia hadir dalam sidang ASEAN, ASEAN sahaja bukan lagi ASEAN, GCC dengan Raja Arab dengan China, dia kata ini di antara pengurusan kecekapan termasuk keselamatan yang terbaik yang dilihat di ASEAN.
  1. Saya bukan seorang Perdana Menteri yang hanya puji sahaja, saya tegur. Jeneral Tan Sri Razarudin bin Husain tahu dan Ketua Polis bila jumpa saya, tahu. Saya kadang-kadang dengar, tetapi jangan hanya negatif bila orang kerja, orang khidmat, orang berat pengorbanan dan tahu mana ketika, mana waktu, siang malam hujan ribut ada disana, bagilah penghargaan dan nyatakanlah bahawa ini yang benar dan rakyat harus tahu apa yang benar dalam negara kita ini termasuk tahap Profesionalisme Polis Diraja Malaysia. Jadi sekali lagi terima kasih. Sudah puji-pujilah, apa yang dapat? (nada berseloroh), Aduh. Pergi mana-mana, semalam di Melaka, Program TPM Datuk Seri Zahid Hamidi TVET Negara. Nak kena tambah lagi peruntukan. Apasal? TVET sekarang satu kejayaan. Mengapa TVET penting? Kerana pelaburan masuk dan kita dah front end, A.I, data centres, digital dan tak boleh lagi tahap technician seperti lama, jurutera seperti lama, mesti upskilling, reskill.
  1. Jadi di antaranya ialah TVET. Hendak harap kejuruteraan, jurutera saja tak cukup walaupun kita masih perlu. Dan 3 tahun lalu, TVET orang tak mahu, susah, yang gagal sahaja masuk. Sekarang, asakan kita dalam 2 – 3 tahun ini yang di Institusi TVET kita sudah mencecah hampir 1/2 juta anak-anak kita. Dan tahun ini yang masuk baru, termasuk pelajar-pelajar cemerlang itu mencecah 140 ribu daftar baru untuk TVET di negara kita.
  1. Ini untuk mengisi keperluan kita. Infineon, RM26 bilion investment, pelaburan, Nvidia. 2 minggu lalu, AMD syarikat gergasi chips dan semikonduktor Amerika Syarikat. Saya dan Tengku Zafrul bila berunding dengan dia saya katakan, okay kita setuju pada dasarnya tapi kita tunggu ini tarif Trump yang akan berakhir 7 atau 9 Julai, jadi kita tunggu dia buat keputusan. Tahu apa pengurusan dia sebut, dia kata, “Prime Minister may I share with you this information, as far we are concerned it is on. Notwithstanding the tarifs we want to invest in Malaysia, now”. Dalam hal itu kita yang berhati-hati. Tetapi mereka yakin sebab, sistem politik yang stabil, dasar negara yang jelas, sebab juga tatakelola termasuk juga soal keselamatan negara, dan pengurusan. Sebab itu, saya tahu sebahagian orang sebelah sana tidak senang bila saya sebut tatakelola.
  1. Governance itu penting, ada kelemahan-kelemahan tentunya kita cuba perbaiki tetapi prinsip dasar, urusan tender, itu dengan tender sahaja kita menyelamatkan berbilion ringgit saudara-saudara. Jangan pandang ringan, berbilion itu boleh dipulangkan kepada sekolah, sekolah daif, latihan anak-anak kita, perubatan ibu bapa kita, inilah yang kita lakukan.
  1. Jadi sebab itu bila dicadangkan tentang Syarikat Koperasi Polis, pada dasarnya saya boleh pertimbangkan. Tapi saya beritahu dan menteri ada, baik okay, untuk beberapa IPD percubaan, kita boleh lihat, serah kepada KDN, kemudian dia ada skop kerja dan pastikan harga itu yang munasabah dan kerana ini bukan syarikat swasta kita boleh beri keutamaan. Dan insya-Allah untuk tahun ini saya luluskan dua atau tiga projek untuk dijalankan oleh koperasi dahulu. Saya ini, memang nampak garang, tapi hati ini senang kalau orang kerja kuat, disiplin ada, prestasi baik, cakap dan runding dengan baik, udahlah. Kalau kerja tak buat, hasut dan maki orang sahaja lantak kamulah saya tidak peduli. Jadi saya pilih untuk menyokong koperasi ini.
  1. Dan dengan gesaan, pesanan supaya pengurusan itu mesti top class, kita ada berapa banyak syarikat dan koperasi yang melingkup, berapa banyak agensi kerajaan yang terpaksa ditampung terus-menerus. Berapa syarikat-syarikat besar? Kerana salah pengurusan. Dia lupa, bila diangkat itu dia lupa, belanja seolah-olah harta mak bapak dia (kasar bunyi), dan kemudian fikir yang pertama fikir elaun dia, kepentingan dia, jadi sampai bila nak fikir yang di bawah. Betul. Dan kemudian fikir yang pertama, fikir elaun dia, kepentingan dia. Jadi sampai bila nak fikir yang di bawah?
  1. Sebab tu orientasi kita, bila kita sebut amanah, semua orang sebut amanah? Amanah, semua kata pertanggungjawaban. Semua kata mesti mula, tapi mesti mula ‘Ibda binafsik’. Mesti mula daripada diri kita bertanggungjawab itu semua kita hafal – Kullukum ra’in wa kullukum mas’ulun an ra’iyyatihi, semua boleh bicara.
  1. Saya masih ingat lagi dulu, masa saya jadi Chairman World Accountability yang berpusat di London. Bila saya bagi syarahan, saya kata dalam dunia Islam, saya daripada kecil belajar akauntabiliti tu menjadi satu paksi kepercayaan kita. Dan ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW saya baca kullukum ra’in. Jadi masa itu, Mary Robinson saya ingat lagi seorang tokoh wanita terkenal United Nations dan dunia, pernah jadi Presiden Ireland. Dia tanya saya, dia kata, “what you said from the Prophet about accountability.” Saya kata, ya. Jadi dia minta explain saya terangkan. Kamu semua bertanggungjawab, akan dipersoalkan, dan akhirnya bertanggungjawab kepada Allah SWT.
  1. Jadi ini bukan soal mainan, ni bukan soal politik, bukan soal pilihan raya, bukan soal naik pangkat. Tapi soal pertanggungjawaban akhirnya kepada Allah SWT. Jadi ditanya saya sebab dia tengok ini hadis, “the tradition of prophet.” Tapi dia tengok dengan negara Islam yang jauh beda. Jadi antara kenyataan dan dasar dan pelaksanaan ni seperti mana yang dalam puisi TS Eliot, di antara kenyataan, realiti dia dengan idealismenya, “”Between the vision and the act lies the shadow.”. Sebab itu seperti berkata juga pujangga WS Rendra, “perjuangan itu adalah pelaksanaan”. Dan percayalah saudara yang jadi pegawai Polis terutama yang senior dan saya dengan pengalaman saya. Pelaksanaan kata-kata itu ujian yang paling besar. Maknanya langkah-langkah kita ambil itu tidak semudah yang kita harapkan. Tapi sekurang-kurangnya kita cubalah bertahap-tahap, iaitu perbaiki.
  1. Dan saya tentunya dalam Kerajaan MADANI ini, harapan kita tentang internal security, disiplin, pengawalan jenayah dan pelbagai bidang tugas tentulah kita serah kepada PDRM. Dan sebab itu saya selalu manfaatkan kesempatan berbincang dengan PDRM ini untuk mengajak mereka bekerja sebagai satu pasukan. Tidak ada Perdana Menteri yang akan berjaya. Tidak akan Menteri yang berjaya, kalau tidak dapat dirangkul kekuatan perkhidmatan awam, pasukan keselamatan, sektor swasta dan rakyat seluruhnya. Dan inilah tugas kita. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita dan dengan tunggak PDRM ini kita dapat bawa perubahan.
  1. Dalam Mesyuarat Agung ini tentunya ahli-ahli mahu, menginginkan sesuatu yang hal, selain daripada kontrak yang diberi. Cukuplah itu kontrak ini bukan kecil. Kalau kata 3 tahun ni mula dan saya akan lihat prestasi akhir tahun. Kalau baik, untuk projek KDN terutama Polis, kita tambah tahun depan.
  1. Tapi hutang suruh kita lupus. Tan Sri Razar, hutang bayar baliklah (nada berseloroh). Baik, kita boleh runding tengok begini ya. Saya tadi pagi-pagi dah hantar dah mesej. Dia tak boleh lari dari Polis ni sebab ADC saya Polis, pegawai kiri kanan Polis pun ada. Jadi cepat-cepat paling efisien, surat dan report daripada Polis. Saya dah baca tadi, saya lihat begini, saya tidak fikir wajar kita lupus semua. Tapi saya fikir, berdasarkan prestasi Polis dan pengurusan yang baik sekarang. Kita akan berikan potongan yang munasabah.
  1. Tapi lebih penting daripada itu, saya kena pastikan Koperasi berikan laporannya kepada MDN dan juga kepada saya. Dan saya akan perhatikan bagaimana kita boleh kerja dengan Kementerian Kewangan, saya akan bagi arahan kepada MK II dan juga kepada KSP, mencari jalan lain yang boleh kita berikan untuk memastikan keuntungan yang diperolehi oleh Koperasi Polis itu akan diberi manfaat kerana ramai sangat yang menjadi anggotanya. Jadi kalau satu projek kita beri, itu faedahnya kepada 100,000 lebih jadi ahli. Jadi insya- Allah itu saya bagi jaminan. Koperasi ada pertemuan dengan mereka dan memperinci semua hal-hal yang boleh dibantu untuk meringankan mungkin beban dari segi pengurusan atau hutang piutang lama yang lapuk yang saya ikuti daripada dulu. Itu yang kadang-kadang saya berasa bimbang tetapi melihat prestasi, kemudian saya yakin bahawa ini akan menjadi kalau boleh baik dan prestasinya. Dia jadi contoh yang baik, koperasi yang baik kerana anggotanya ramai.
  1. Satu projek yang diberikan, diluluskan oleh Kerajaan oleh Kementerian Kewangan katalah untuk projek, itu manfaatnya kepada 100,000 orang. Munasabahlah. Daripada kita beri sekarang ini suntikan dana direct financial grant, lebih baik bagi projek. Dia kerja dengan baik, kos yang munasabah dan cepat siap, efisien. Jadi yang lain-lain itu kita bincang kemudian. Jangan minta banyak sangat (nada berseloroh). Itulah saya, tak datang rasanya ish, Koperasi Polis ni penting sangat. Datang, saya dah tahu dah, mesti dia minta apa-apa lagi? Dan lepas ini sembahyang Jumaat di Cheras, kemudian pergi sekolah yang terbakar itu, itu pun kena peruntukan tambahan lagi. Esok ke Lumut, Perak, no, besok lusa, besok Hari Belia mesti peruntukan tambahan. Kemudian Hari Wartawan, peruntukan pertambahan.
  1. Kadang orang jemput saya, saya kata oh bagus la PM ni orang semua panggil. Tapi kadang saya fikir dia panggil aku ni pasal dia suka dekat aku ke, dia minta peruntukan aku (nada berseloroh). Tapi saya ni optimis dan realistik. Saya ingat kedua-duanyalah kan, suka dan juga minta peruntukan.
  1. Saudara lihat saya bicara dengan agak lebih santai kerana saya senang. Alhamdulillah dan bila kejayaan yang saya sebut tadi ASEAN-GCC-China itu memang betul, ramai yang datang dia puji sayalah PM. Tapi saya pun tahu pun kalau tidak kerana Menteri Dalam Negerinya, Ketua Polis Negaranya, Polis penuh begitu dan seluruh jentera, ribu tahu tak ribu. Mula-mula saya bagitahu Tan Sri Razar, eh nak kena panggil makanlah diorang ni nak tunjuk terima kasih. Berapa orang polis, 6000. Ya Allah! Yang lain semua seribu, dua ribu, eh tak jadilah. Niat saya sampai macam tu. Saya kata dia orang ni tau cara menang nak tunjuk saya punya penghargaan tu. Tapi tak apalah yang lain kita umum masa Belanjawan Negara nanti, insya Allah.
  1. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih dan dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad kali ke-90 tahun ini.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.